MENYERTAI PRU-13 SEBAGAI CALON BEBAS
Hampir keseluruhan rakyat di negeri Perlis ini tertanya-tanya mengapa saya secara tiba-tiba bertanding di dalam PRU-13 ini sebagai calon bebas. Nama saya tidak pernah didengar atau disebut-sebut seperti calon-calon bebas yang lain. Kehadiran saya di dalam arena politik negara terutamanya di negeri Perlis ini menjadi satu kejutan sehingga ada yang mengatakan bahawa saya telah ditaja oleh pihak-pihak tertentu untuk memecah undi dan menyebabkan kekalahan kepada parti politik tertentu.
Ingin saya jelaskan di sini bahawa kehadiran saya di dalam arena politik negara ini tidak seperti calon-calon bebas yang lain. Ada di antara mereka bertanding atas tiket calon bebas kerana memberontak atau tidak berpuas hati dengan pimpinan parti kerana tidak dipilih sebagai calon untuk bertanding di dalam PRU-13. Mungkin ada juga di antara mereka yang pada asalnya berjuang dengan parti-parti politik tertentu, tetapi telah keluar dari parti sebelum PRU-13 dan bertanding sebagai calon bebas.
Demi Allah, saya tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini. Saya juga tidak pernah memperjuangkan idealisma atau fikrah perjuangan mana-mana parti politik samada ianya berunsur pro-kerajaan ataupun pembangkang.
Saya adalah calon bebas yang sebenar-benarnya bebas daripada cengkaman atau telunjuk mana-mana parti politik di negara ini. Saya telah membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas bagi PRU-13 ini atas dorongan dan desakan hati dan sanubari saya sendiri dan tidak bermotifkan politik atau ketidakpuasan hati kepada pihak-pihak tertentu.
MISTERI BAITULMAL PERLIS
Pada awal November 2012, kita telah dikejutkan oleh tindakan dan kenyataan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang membuat keputusan meletakkan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa Baitulmal Negeri Perlis. Difahamkan perletakkan jawatan Dr Juanda dalam agensi pengurusan zakat negeri Perlis adalah ekoran daripada sikap pemimpin negeri yang telah berkali-kali membelanjakan wang zakat tanpa menikut prosedur sebenar dan mengarut antaranya ialah pergi melancong tanpa terlebih dahulu dibawa berbincang dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Baitulmal. Malah, perbelanjaan dan pengagihan wang zakat oleh Baitulmal Perlis tidak meletakkan keutamaan yang saksama kepada asnaf yang layak menerima zakat dan dalam banyak keadaan nampak lebih menjurus kepada agensi perniagaan berbanding kebajikan.
Berdasarkan kepada Laporan Ketua Audit Negara tahun 2011 penyata pendapatan dan perbelanjaan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi tahun berakhir 31 Disember 2010 mencatatkan surplus (lebihan) berjumlah RM9.14 juta, peningkatan RM4.86 juta atau 113.5% berbanding RM4.28 juta pada tahun 2009. Peningkatan ini disebabkan pertambahan dalam terimaan Zakat Harta berjumlah RM8.63 juta menjadi RM36.43 juta berbanding RM27.80 juta pada tahun 2009. Pengagihan zakat pada tahun 2010 adalah pada kadar 76.4% daripada jumlah zakat yang diterima berbanding 87.7% pada tahun 2009.
Jika dilihat di sekitar negeri Perlis masih ramai rakyat yang dibelenggu kemiskinan dan kesusahan sedangkan wang zakat Baitulmal mencatatkan lebihan dari tahun 2009 hingga 2011. Secara peribadi saya merasakan bahawa Baitulmal Perlis tidak ditadbir dengan cekap oleh pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan mentadbir dana umat Islam ini dan berlakunya keciciran terhadap asnaf yang layak menerima zakat.
Harus diingatkan bahawa Baitulmal adalah perbendaharaan umat Islam yang amat penting dan ianya perlu ditadbir dengan cekap dan amanah supaya tidak berlakunya kezaliman kepada asnaf yang berhak. Pada zaman Rasulullah SAW dan era khilafah, Baitulmal adalah perbendaharaan negara atau kementerian kewangan pada zaman ini
MENDAPATKAN PENJELASAN DARIPADA MUFTI
Pada malam 12 April 2013 selepas solat Isya', melalui seorang rakan yang agak karib dengan Mufti Perlis saya cuba untuk berjumpa dengan Mufti Perlis bagi mendapatkan penjelasan berkenaan tindakan beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Baitulmal pada awal November 2013. Malangnya atas alasan keletihan dan mengantuk beliau hanya bercakap dengan saya melalui telefon sahaja. Saya telah gagal untuk mendapatkan penjelasan daripada beliau bahkan saya disuruh untuk berjumpa dengan pihak Baitulmal sekiranya ingin mendapatkan apa-apa maklumat. Saya amat-amat kecewa dengan sikap Mufti Perlis ini kerana beliau mungkin beranggapan persoalan yang dibangkitkan oleh saya adalah sesuatu yang remeh.
MENGADAP DYTM TUANKU RAJA MUDA PADA 17 APRIL 2013
Disebabkan oleh sikap yang ditunjukkan oleh Mufti Perlis, saya mengambil keputusan untuk mengadap DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis yang juga merupakan Yang Dipertua MAIPs. Alhamdulillah saya telah mendapat perkenan untuk mengadap pada 17 April 2013 jam 9.30 pagi.
Ketika mengadap, saya telah membangkitkan beberapa isu dan persoalan berkaitan permasalah dalaman Baitulmal Perlis dan meminta penjelasan daripada DYTM Raja Muda.
Penjelasan yang diberikan tidak memuaskan hati saya. Saya juga mendapati DYTM Raja Muda sebagai Yang Dipertua MAIPs tidak menerima laporan yang tepat dan bercanggah dengan fakta sebenar keadaan rakyat baginda. Bahkan baginda memaklumkan kepada saya bahawa banyak usaha penambahbaikan fungsi Baitulmal dan pentadbiran MAIPs dibuat atas inisiatif baginda sendiri.
Justeru, saya tiada pilihan dan memaklumkan hasrat saya untuk bertanding sebagai calon bebas bagi Dun N7 Sena dalam PRU-13. Itu sahaja jalan yang ada bagi membolehkan saya mendapatkan maklumat yang tepat dan benar tentang permasalahan pengurusan dan pentadbiran wang zakat oleh Baitulmal Perlis. Saya juga memohon perkenan daripada DYTM Raja Muda dan baginda tidak membantah.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.